Thursday, August 16, 2018

| PEMBENTUKAN KARAKTER ANAK |

Anak-anak melihat contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Jika baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa, maka baiklah anak itu. Jika ibu bapa tidak berakhlak mulia, bercakap kasar, tidak menghormati orang lain, maka anak-anak akan meniru apa yang dilihat dan akan berbuat perkara yang sama. Malahan karakter anak terbentuk dari dalam rahim ibu lagi. Sebab itulah penting bagi ibu sentiasa berakhlak mulia, membersihkan jiwa, tidak berprasangka buruk serta sering melakukan perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Janganlah ibu terlalu sibuk dengan urusan keduniaan dan berada dalam keadaan stress.



#UmmiPROFAZZ
#MembinaProfessionalHuffaz

Wednesday, August 15, 2018



| TAUJIHAT Ummi PROFAZZ | (1)
DOA KETIKA MASAK UNTUK ANAK-ANAK

Dengarkan sedikit perkongsian Ilmu dari Ummi. Moga bermanfaat.

Hubungi 019 660 1605 untuk menjemput Ummi dan PROFAZZ.

#UmmiPROFAZZ
#MembinaProfessionalHuffaz
www.profazz.com.my

Monday, August 13, 2018

5 ANAK LELAKI KECIL RAPAT-RAPAT USIA MEREKA.....

Seperti diketahui ramai, Ummi mempunyai 5 anak lelaki yang rapat-rapat usia mereka. Semasa mereka kecil, pastinya Ummi tidak akan dapat melakukan semua kerja rumah serentak dan memastikan everything in order. Setiap hari ada sahaja kejadian-kejadian yang boleh mencabar kesabaran dan menggugat keimanan. Ummi harus bersikap selektif. Ada tugas yang boleh Ummi bereskan tetapi ada juga tugas yang harus Ummi tangguhkan. Di sinilah perlunya kreativiti seorang ibu. Top of the list, Ummi akan mengutamakan penjagaan anak-anak dari segi makan minum mereka, kebersihan mereka, kesihatan mereka dan pendidikan mereka. Kedua ialah makanan yang mereka makan. Semasa mereka kecil, memang Ummi yang memasak untuk mereka kerana Ummi akan memastikan doa dibaca setiap kali memasak dan menyuap mereka dengan tangan Ummi sendiri.


#UmmiPROFAZZ
#MembinaProfessionalHuffaz

Saturday, August 11, 2018

PERANAN UTAMA IBU


Ummi telah melalui ketiga-tiga fasa sebagai seorang ibu, yakni ‘Ibu Suri Rumah’, ‘Ibu Berkerjaya Di Rumah’ dan ‘Ibu Berkerjaya Sepenuh Masa’. Ummi masih kekal dengan pandangan bahawa HANYA ibu sahaja yang mampu mendidik anak dengan penuh kasih sayang dan perhatian rapi. Hanya ibu sahaja yang sanggup bersusah payah untuk anak, hanya ibu sahaja yang akan bersabar melayan kerenah anak dan hanya ibu sahaja yang dapat memastikan kejayaan anak.


#MembinaProfessionalHuffaz

Sunday, February 4, 2018


BAITUL MUSLIM


Kesemua anak Ummi bertemu jodoh melalui proses Baitul Muslim kecuali seorang.

Ummi mempunyai thiqah (kepercayaan) dengan kemampuan Baitul Muslim mempertemukan jodoh anak-anak.

Bagi pencarian sendiri, Ummi melakukan penapisan dari beberapa calon yang telah disenaraipendek.

Kriteria yang diteliti ialah sekufu dari sudut fikrah Islamiah, keturunan, harta dan rupa paras.

Pada pandangan Ummi, jika ada kekurangan dari aspek yang ingin dicari, kesediaan untuk belajar dan memperbaiki diri sangat penting.

Sebab itu Ummi menitikberatkan latarbelakang pendidikan calon isteri sebagai satu lagi ciri yang perlu diberi perhatian. Ibu yang berpelajaran dapat berfikir dengan bijak serta mampu mendidik anak-anak dengan baik.

Alhamdulillah syukur kesemua menantu Ummi hebat-hebat belaka dan dapat menjalankan tugas sebagai anak perempuan, isteri dan ibu dengan baik sekali.

#UmmiPROFAZZ
#MembinaProfessionalHuffaz

Friday, January 19, 2018

KEMESRAAN IBU DAN ANK

Ummi kalau bersembang dengan anak-anak memang rabung sekali. (Orang Kedah kata sembang rabung maksudnya sembang kencang). Contohnya, Ummi boleh bergayut beberapa jam skype dengan Irfan semasa dia di Mesir dulu. Macam-macam story kami boleh sembang. Ummi boleh berjaga hingga dini hari berceloteh dengan Aiman dari satu topik ke topik yang lain.

Kalau semua anak-anak berkumpul di rumah memang riuh rendah kami bercerita macam dah lama tak bersua walhal baru minggu sebelumnya masing-masing balik kampung.

Perbualan berlegar dari isu semasa ke cerita politik masuk bab artis dan lain-lain lagi. Kadang-kadang terpaksa flashback kenapa boleh sampai jauh sangat menerawang topik yang disembangkan.

Suhayl duduk sekali dengan Ummi walaupun sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Tapi dia selalu ketawa kerana bila berbual dengan Ummi nampak seperti sudah lama tidak bersua kerana banyak yang masih nak disembangkan. Dan kalau sembang memang beria-ia seakan tidak pernah habis isu yang mahu diceritakan. Menurut Suhayl, dia mengetahui 95% kisah hidup Ummi. (5% lagi Ummi masih simpan kekal sebagai rahsia)....

Farhan almost everyday jumpa Ummi sebab kerja sekali. Syamil dan famili pula tinggal di taman sebelah je. Bila-bila boleh set appointment lunch atau dinner sekali.

Sebab itulah anak-anak mesra dengan Ummi dan tidak kekok di antara satu sama lain.


Ummi pernah lihat anak rakan-rakan yang buat hal masing-masing di kalangan adik beradik dan tidak bercakap sangat di antara satu sama lain. Ada juga para ibu yang menegur Ummi hairan macam mana Ummi boleh bersembang lama dengan anak-anak sedangkan anak-anak Ummi semuanya lelaki dan sudah besar-besar belaka.

Inilah antara rahsia Ummi mengikat hati anak-anak agar rapat dengan Ummi. Yakni melalui perbualan dan layanan mesra serta sembang dari hati ke hati. InsyaAllah melalui cara ini mereka dapat mengenali lebih dekat isi hati ibu mereka, kesukaan, pantang larang di samping impian dan jangkaan masa depan hidup ini.

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

Tuesday, January 16, 2018

ROTAN ADALAH SIMBOL KETEGASAN

Yang paling afdal, ibu bapa perlu mendidik anak dengan lembut dan penuh kasih sayang. Tetapi dalam keadaan tertentu rotan boleh digunakan.

ROTAN adalah simbol keseriusan kita dalam mendidik anak, sebab itulah Ummi selalu tekankan di setiap rumah mesti ada simpan rotan.

Tetapi sebelum merotan, ada syarat-syarat yang perlu diikuti:

i) Tidak terus merotan sebelum melalui peringkat menegur, menasihat, mendisiplin dan memperbetulkan kesalahan melalui bimbingan, menegur kesalahan dengan isyarat, menegur kesalahan dengan cemuhan, menegur kesalahan dengan pemulauan dan akhir sekali barulah menegur kesalahan dengan merotan.

ii) Jangan merotan ketika perasaan marah menguasai diri kerana dikhuatiri mencederakan anak.

iii) Jangan merotan di anggota yang menyakitkan seperti kepala, muka, dada dan perut.

iv) Bagi hukuman kali pertama, elakkan merotan sehingga menyakitkan.

v) Jangan merotan selagi anak belum mencapai usia 10 tahun.

vi) Sekiranya kesalahan itu dilakukan untuk kali yang pertama, sebaiknya diberikan peluang kepada anak untuk bertaubat dan meminta maaf terhadap apa yang sudah dilakukan.

vii) Biarkan bapa sendiri yang merotan anak itu. Hayunan rotan biar perlahan sahaja.

"Anak-anak adalah amanah untuk kita,
Bukannya tempat untuk dirotan oleh orang yang tidak sabar...."

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

Friday, January 12, 2018

MEMAHAMI KARAKTER ANAK

Ummi pernah menetap di U.K. bersama famili selama 3 tahun. Semasa itu anak-anak Ummi masih kecil berusia 4, 5 dan 6 tahun. Seorang anak Ummi masih baby dan seorang lagi belum lahir. Ummi sendiri yang mengajar mereka solat dan membaca al-Quran.

Ummi akan duduk di tepi heater dan menunjuk ajar pergerakan dan bacaan dalam solat sambil diikuti dengan khusyuk oleh anak-anak. Niat Solat, Takbiratul Ihram, Fatihah, Ruku’, I’tidal, Sujud, Duduk Antara 2 Sujud, Tahiyat Awal, Tahiyat Akhir diikuti dengan Salam. Tertib sahaja mereka ikut tanpa keluh kesah. Yang pasti ada rotan di sebelah Ummi. Rotan itu tidak digunakan. Ia hanya simbol untuk menunjukkan Ummi serius untuk mengajar mereka.


Sejurus kemudian seorang demi seorang anak-anak Ummi akan mengambil giliran untuk membaca Muqaddam. Bermula dengan Aiman, diikuti adik-adiknya yang dua lagi.

Pernah suatu ketika bilamana Aiman dan Irfan telah selesai membaca Muqaddam, Ummi menyuruh mereka mengulang sekali lagi tapi mereka terus bangun dan berkejaran untuk mula bermain.

Tiba pula giliran Syamil. Selesai membaca beberapa halaman, Ummi suruh Syamil ulang sehingga lancar. Air mata Syamil mengalir laju sebab jiwanya mulai tergugat kerana ingin turut serta bermain. Namun digagahkannya juga untuk terus mengulang sehinggalah Ummi suruh berhenti kerana sudah lancar.

Sebagai Ibu, Ummi tahu karakter setiap anak.

Ummi menyuruh Syamil terus mengulang kerana Ummi tahu dia seorang yang boleh mencabar dirinya sendiri. Sedari kecil sifat ini sudah ada di dalam dirinya. Sehinggalah ketika dewasa, dia telah berjaya mencabar dirinya untuk menghafaz 30 juz al-Quran dalam masa 5 bulan.

Syamil juga telah mengambil risiko berani mendaftar 15 subjek ketika SPM dan berjaya mendapat 14A, 1 B. Itupun dia dapat B kerana subjek itu adalah EST (English for Science & Technology) yang pertama kali diadakan dan tiada rujukan soalan dari tahun-tahun lepas. Kalau ikutkan Syamil dia yakin akan mendapat 15A straight. Begitu confidentnya dia. Alhamdulillah….


Bagaimana cara Ummi berjaya menyelami karakter anak-anak?

Ini adalah hasil dari BONDING yang tercipta sejak mereka lahir.

Ummilah yang membelek mereka setiap hari. Ummilah yang mendodoi mereka, menyuap mereka makan, melayan tantrum mereka, bermain dengan mereka, membelai, mengusap kepala, mendukung dan follow mereka ke sana ke mari untuk memastikan mereka selamat.

Alhamdulillah tugas yang bagi setengah orang tampak renyah dan remeh sebenarnya adalah pendekatan terbaik membangun dan mendidik seorang anak kecil yang insya-Allah akan membesar menjadi insan Soleh dan Musleh.

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

Wednesday, January 10, 2018

*﷽*

Ketika Imam Syafie pergi ke Mesir untuk berjumpa guru beliau Imam Malik, meminta untuk didoakan....

Kemudian kata Imam Malik:
"Kamu telah tersalah alamat datang ke sini dan minta untuk didoakan oleh aku!"

Imam Syafie bertanya: "Kenapa?"

Imam Malik menjawab:
"Di rumah kamu ada seorang yang doanya 100,000 kali ganda lebih baik daripada aku!"

Imam Syafie bertanya: "Siapakah itu?"

Maka jawab Imam Malik:
"Ibu kamu! Doa Ibu itu tidak ada hijab antara dia dengan Allah SWT!

NOTA:
Amat bertuah bagi mereka yang masih ada ibu! Alhamdullilah; jika anda masih ada ibu dan bapa, kasihlah dan jaga mereka seperti mereka menjaga dan kasih kepada kita semasa kita kecil dahulu.

Al-fatihah untuk Bonda dan Ayahanda kita!

والله أعلم بالصواب.



Tuesday, December 26, 2017

RAHSIA ANAK-ANAK MENJADI HUFFAZ AL-QURAN
AMALAN UMMI PROFAZZ


☎️👉🏻 TIP 1 ☎️👉🏻

Biasakan diri melakukan Mutaba'ah Amal.

Apakah itu Mutaba'ah Amal?

Mutaba'ah Amal ialah amalan-amalan tambahan yang kita lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.....contohnya melakukan Solat Sunat Rawatib, Solat Sunat Dhuha, Qiamulaill, membaca al-Quran, membaca al-ma'thurat, sering berzikir, puasa sunat, infaq dan lain-lain lagi.
.
#PROFAZZ
#UmmiPROFAZZ
#MembinaProfessionalHuffaz

Friday, December 22, 2017

"Kami tidak dapat menerima anak-anak Puan belajar lagi di sekolah ini kerana pihak Puan selalu lewat membayar yuran dan kerap ada tunggakan."

Berderau darah Ummi mendengarkan kalam yang terpacul dari bibir Sang Pengetua sekolah tempat anak-anak Ummi belajar. Sejenak terimbau kenangan anak-anak riang ria bersiap untuk ke sekolah yang telah banyak menyemai benih aqidah dan akhlak dalam diri mereka. Para murabbi yang tulus mendidik mereka dengan penuh hemah dan ihsan. Jujur dan keikhlasan terpancar di wajah muallim dan muallimah yang kebanyakannya dari Indonesia dan Thailand. Ummi tidak tega membawa anak Ummi keluar dari biah yang solehah seperti itu.

Laju air mata gugur di depan Sang Pengetua. Dengan getaran suara menahan sebak, Ummi terangkan kepada beliau tentang istiqomahnya anak-anak Ummi menceduk ilmu di sekolah itu. Jarang ponteng, jarang buat hal, selalu hormati guru-guru dan rajin belajar.

"Takkanlah kerana kami lewat sedikit melunaskan yuran, anak-anak kami dinafikan hak mereka? Seingat saya, belum pernah sampai kami tak bayar langsung yuran sekolah. Walaupun selalu tertunda, tapi yang pasti, di hujung tahun kami selesaikan juga sebab kami mahukan barakah dari pendidikan ini....."

Ummi juga ingatkan beliau betapa kami terus kekal menghantar anak-anak ke sekolah yang mahal itu walaupun dalam kalangan sahabat-sahabat lain ramai yang telah membawa keluar seorang demi seorang anak-anak mereka dek kerana tidak sanggup menanggung beban kos yang tinggi.

Ummi lafazkan janji pada Sang Pengetua sekiranya anak-anak Ummi dibenarkan untuk terus bersekolah di situ, Ummi sendiri akan pastikan mereka mengukir nama yang baik untuk mewakili sekolah. Ummi yakin anak-anak Ummi akan menunjukkan kecemerlangan yang hebat bagi menaikkan nama sekolah.


Legasi Dinasti Salmi akan terukir dalam sejarah, yakni 5 Professional Huffaz (Aiman Salmi, Syamil Salmi, Irfan Salmi, Farhan Salmi dan Suhayl Salmi) yang telah mengharumkan nama sekolah sekaligus keluarga dengan pencapaian akademik yang baik, hafaz 30 juz al-Quran dan pada masa yang sama memegang tugas sebagai ketua pelajar, pengawas serta penglibatan lain dalam kelab, persatuan dan sukan. Kini mereka adalah profesional dalam bidang masing-masing dan turut berperanan dalam mengesani masyarakat.

Sesungguhnya Ummi telah lama memadam rasa hiba dan melupakan peristiwa sedih tersebut. Yakni peristiwa ketika Ummi terpaksa menangis dan merayu untuk pihak pengurusan mengekalkan anak-anak Ummi di sekolah berprestasi tinggi itu. Alhamdulillah, Ummi telah buktikan janji pada Sang Pengetua bahawa sekolah tidak akan kecewa dengan anak-anak Ummi.

Kini, bila-bila masa sahaja Ummi redha anak-anak Ummi kembali menyumbang kepada sekolah dengan memberi khidmat bakti secara sukarela. Mungkin dalam bentuk ceramah motivasi, kaunseling atau perundingan. Ummi yakin lebih ramai lagi Professional Huffaz (PROFAZZ) mampu untuk dilahirkan, insyaAllah.




http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ