Thursday, November 30, 2017

SALAM MAULIDUR RASUL

Rasulullah dalam mengenangmu,
Kami susuli lembaran sirahmu,
Pahit getir pengorbananmu,
Membawa cahaya kebenaran.

Teringat 2 tahun lalu nama Ummi tercatat sebagai salah seorang dari 4 calon yang disenarai pendek untuk 'Tokoh Saidatina Khadijah' sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor.

Walaupun terharu atas pencalonan yang diberikan, sesungguhnya yang lebih Ummi dambakan ialah anugerah nikmat dari Allah s.w t. dibandingkan pengiktirafan gelaran dan pangkat di mata manusia.

Kemunculan Ummi di pentas umum serta hasil penulisan Ummi dalam bentuk buku, tulisan di media sosial dan blog adalah atas dasar ingin memandaikan masyarakat, berkongsi ilmu dan mencapai agenda melahirkan seramai mungkin Professional Huffaz (PROFAZZ) di Malaysia.

http://belibukuPROFAZZ.wasap.my/
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my/
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my/
#UmmiPROFAZZ
BAGAIMANA MENANGANI ANAK BERGADUH


Pernah satu ketika Ummi tidak dapat handle keadaan huru hara disebabkan usik mengusik anak-anak akhirnya membawa kepada pergaduhan, kejar mengejar dan raungan kuat.
.
Dalam keadaan bingung untuk meredakan mereka, apa yang Ummi lakukan ialah azan dengan kuat, jelas dan berlagu. Anak-anak tergamam sejenak. Pertama, mungkin kerana mereka terkejut. Kedua, boleh jadi juga lafaz azan tersebut berjaya melembutkan jiwa mereka lalu keadaan menjadi aman sedikit selepas itu.
.
Inilah antara asam garam kehidupan membesarkan 5 anak lelaki yang aktif dan rapat usia mereka.
.
http://belibukuPROFAZZ.wasap.my/
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my/
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my/
#UmmiPROFAZZ

Wednesday, November 29, 2017

| AL KISAH | : MENANTU 1

Menantu pertama Ummi bernama Sakinah, isteri kepada Ustaz Aiman PROFAZZ:

 Degree in Mass Com UiTM.
Ramai yang kata student masscom modern, seksi dan rugged. Mereka hairan kenapa Ummi pilih menantu budak masscom UiTM.

Awalnya Sakinah bekerja sebagai journalist di salah sebuah News Agency selama 3 tahun.

Selepas setahun lebih bernikah, mereka mendapat anak pertama.

Ketika anak mereka berusia beberapa bulan, Sakinah telah memohon untuk sambung buat Masters in Mass Com di IIUM bawah Young Lecturer Programme.

Kini Sakinah sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD di UM dalam bidang Mass Com.

Yang menarik walaupun tahap pengajian menantu Ummi sentiasa meningkat namun pendidikan anak-anak menjadi keutamaan. Masa bersama anak jauh lebih banyak berbanding masa bekerja.

Antara sebab Sakinah meninggalkan kerjaya sebagai journalist adalah kerana masa yang terlalu lama di pejabat, di jalanan dan keletihan ke sana ke mari menemuramah pelbagai orang, mencatat pelbagai isu dan menyediakan laporan. 




Jika dilihat dari segi kerjaya yang menarik dan berpotensi sememangnya agak sukar seseorang melepaskan jawatan yang menjadi minat mendalam.

Namun atas kesepakatan suami isteri dan teruja untuk menyambung legasi melahirkan Professional Huffaz (PROFAZZ), Sakinah sanggup menahan nafsu dan gelora hati sendiri demi sebuah keluarga soleh.

Anak mereka turut menyertai Akademi PROFAZZ untuk mulai menghafal al-Quran dan menunjukkan prestasi yang membanggakan.

Jarak dari Gombak ke Bangi setiap hujung minggu terasa dekat. Matlamat melahirkan lebih ramai lagi PROFAZZ membuatkan yang sukar menjadi senang. Itulah rutin mereka sejak 2 tahun yang lepas. Tiada sedikit pun nada rungutan atau keluh kesah. Apatah lagi bila melihatkan anak yang mulanya tidak berminat untuk membaca al-Quran kini mengucapkan kata-kata..."I love to read Quran. Everyday I want to read Quran and Iqra'. I want to be a PROFAZZ too."

Moga anak menantu Ummi istiqomah dalam mengambil amanah ini dan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Amin ya Rabbal 'Alamin

http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ
| PERKONGSIAN UMMI PROFAZZ | (SIRI 4)
 Anak ‘Melayu’ di Bumi Orang

     1. Sebaik-baik pembentukan peribadi anak-anak adalah pembentukan yang diacu mengikut adunan agama. Dalam proses mendidik anak-anak, ibu bapa harus selalu berlembut dalam semua perkara kecuali hal-hal yang membabitkan aqidah dan akhlaq. Seringkali ibu bapa cuba menutup sebelah mata jika perlakuan anak-anak agak keterlaluan atau sekali sekala menyebelahi mereka dek kerana belas ehsan atau kasih sayang berlebihan sehinggakan membuat anak-anak tidak cuba memperbaiki diri atau mengembangkan bakat dan potensi diri.

2. Realitinya ibu bapa tidak sanggup melihat anak-anak mengalami kesulitan, walhal jika anak-anak tersebut berjaya mengharungi segala kepayahan, karakter mereka akan menjadi lebih kuat dan semangat mereka lebih tinggi.

3. Begitu juga halnya dalam usaha menjadikan anak-anak sebagai huffaz. Kadangkala ibu bapalah yang sebenarnya tidak sampai hati untuk membiarkan anak-anak mereka dalam keadaan tekun menghafaz al-Quran sepanjang hari mulai dari terbit hingga terbenam matahari. Ibu bapalah yang sebenarnya asyik membayangkan betapa anak-anak mereka akan melalui kehidupan yang begitu membosankan. Ibu bapalah yang sebenarnya tidak tergamak untuk melihat anak-anak mereka tidak sempat bermain playstation, ber'ipad', ber'whatsapp' dan menonton ‘movie’ kegemaran.

4. Hakikatnya ketenangan dan kesyahduan yang dirasai anak-anak ketika muraja’ah dan mentasmik hafazan adalah satu nikmat yang tidak tergambar oleh kata-kata sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas.

5. Dalam penulisan kali ini, Ummi ingin berkongsi pengalaman ketika mendidik anak-anak di bumi orang. Pada pandangan Ummi walau di mana pun kita berada tiada istilah lepas tangan oleh ibu bapa. Tanggungjawab mendidik anak tetap menjadi tugasan utama sehinggalah anak-anak tersebut mencapai akil baligh, yakni dapat membezakan di antara yang haq dan yang batil.


6. Pengalaman Ummi bersama anak-anak semasa kecil mengikut ayah mereka ke U.K. untuk menyambung pengajian di peringkat PhD sedikit sebanyak menguji ketabahan seorang ibu dalam rangka menyemai benih Islam ke dalam sanubari anak-anak. Dengan ketiadaan banyak bahan bacaan berunsurkan Islam, kekurangan ustaz/ustazah yang boleh membantu mengajar tentang ad-Deen dan berleluasanya unsur-unsur jahiliyah di bumi asing adakalanya menyebabkan kita goyah dan cenderung untuk hanyut sama dalam persekitaran.

7. Ketika itu anak-anak Ummi seramai 3 orang berusia 3, 4 dan 5 tahun. Kami menetap di U.K. selama 3 tahun. Ini bermakna menjelang balik ke Malaysia, anak-anak Ummi akan menginjak ke usia 6, 7 dan 8 tahun. Dua lagi anak Ummi lahir di sana tetapi Ummi tidak terlalu bimbang kerana mereka masih lagi kecil. Ummi cuba untuk tidak membiarkan anak-anak tanpa pendidikan asas solat dan mengaji al-Quran.

8. Ummi sendiri mengajar mereka secara konsisten setiap hari agar mereka tahu tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Selagi mereka tidak menyudahkan bacaan beberapa halaman al-Quran setiap hari, selagi itulah mereka tidak dibenarkan untuk bermain atau membuat aktiviti lain. Selagi mereka tidak menyempurnakan ibadah solat dengan mengikut bacaan-bacaan yang Ummi ajarkan dengan jelas di tepi mereka, selagi itulah rotan ber'goyang' di tangan.


9. Rotan perlu ada di rumah bukan digunakan untuk tujuan penderaan, tetapi sebagai simbolik untuk menyatakan bahawa kita sebagai ibu bapa serius untuk mendidik mereka menjadi insan sempurna. Dengan lima orang anak lelaki yang aktif dan ‘degil’ mana mungkin Ummi dapat disiplinkan mereka jika tiada alat yang memudahcarakan proses tersebut. Kalau rotan ada di rumah dan disimpan di bilik stor sekalipun sudah memadai asalkan di setiap rumah harus ada menyimpan rotan sebagai alat mendidik dan anak-anak perlu tahu bahawa ada rotan di simpan di dalam rumah tersebut.

10. Rata-rata penuntut peringkat PhD di U.K. akan menetap selama 3-4 tahun di sana. Ummi perhatikan kebanyakan para ibu yang menemani pasangan masing-masing akan membawa bekal buku-buku teks Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan lain-lain agar anak-anak mereka dapat membuat latihan supaya mudah mereka menyambung pelajaran sekembalinya ke Malaysia nanti. Ummi mempunyai pendirian yang agak berbeza. Ummi hanya membawa bekal Mukadam untuk mengajar anak-anak mengenal alif, ba, ta dan membaca al-Quran. Buku-buku lain tidak begitu diberi keutamaan kerana Ummi yakin masih boleh dipelajari kemudian.


11. Sistem pendidikan Barat yang sekular dan berorientasikan pembangunan kendiri tidak memungkinkan seseorang anak kecil dapat mengenal diri dan tuhannya. Pra-sekolah dan sekolah rendah di sana hanya menitikberatkan pembentukan mental dan kognitif dengan pelbagai simulasi yang bersandarkan upaya kanak-kanak dengan sedikit bimbingan dari guru. Hasilnya anak-anak begitu berminat untuk ke sekolah kerana mereka bebas membuat apa yang mereka suka dan sesi pembelajaran agak fleksibel. Ini termasuk tiada beg yang berat, tiada homework yang banyak, tiada drilling oleh guru yang terpaksa mencapai target prestasi yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan pelajar mempunyai rutin harian yang berubah-ubah.




12. Dalam tajuk berikutnya, Ummi akan berkongsi bagaimana memastikan anak-anak terus tegar berada di landasan yang benar walau di mana mereka berada. Akhir kata, Ummi titipkan doa yang sering ditiupkan ke wajah anak-anak agar hati mereka lembut:

َُّ َ媟ٌِ 堥ِ媢ِ堥َ塈堹ِِ َ堭ْ堬ُُ َ َ奡َ塈堙 ََُ 塈َُِّْ 塈媢َ堬ِ堬ُ

“Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Asy-Syura 42: 19)

(Petikan dari buku "Membina Keluarga PROFAZZ")

http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ


Tuesday, November 28, 2017

| PERKONGSIAN UMMI PROFAZZ |  (SIRI 3)

ABANG LONG THE TRENDSETTER


☂️ 1. Penulisan Ummi tercetus dari experiment yang telah Ummi lakukan terhadap anak-anak sendiri dalam perancangan menjadikan mereka sebagai Professional Huffaz atau PROFAZZ. Setelah Ummi yakin akan keberhasilannya, barulah Ummi bersedia untuk menjadikannya sebagai panduan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui kaedah yang telah Ummi gunapakai.

☂️ 2. Untuk perkongsian kali ini, Ummi ingin menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh anak sulung dalam sesebuah keluarga. Ummi juga ingin tunjukkan betapa pentingnya ibu bapa memastikan perancangan rapi dilakukan sejak dari anak pertama lagi. Abang Long adalah panggilan yang lazim kita dengar untuk anak pertama. Tetapi di sebalik panggilan yang mengingatkan kita tentang kedudukan Abang Long di dalam susunan keluarga, anak sulung sebenarnya memainkan peranan yang dapat membantu mencorakkan kehidupan adik-adik di bawahnya.

☂️ 3. Pertamanya ialah Abang Long bertindak sebagai ‘the Role Model’ yang akan menjadi benchmark kepada adik-adik. Apabila anak sulung berjaya dari segi akademik dan akhlak, kecenderungannya adalah adik-adik akan turut mengikuti jejak mereka untuk sama-sama berjaya. Nasihat dan bimbingan Abang Long pada adik-adik akan menitipkan inspirasi dari sudut yang berbeza jika dibandingkan dengan ibu bapa sendiri. Ia seakan memacu adik-adik ke satu destinasi yang lebih meyakinkan dengan hasil yang terbentang luas di depan mata.

☂️ 4. Di sini Ummi coretkan sedikit pengalaman sendiri dalam rangka merencana kejayaan akademik dan keperibadian anak-anak. Ia bermula daripada anak sulung di mana Ummi perhatikan hasrat untuk sentiasa mendapat keputusan cemerlang telah ada dalam diri beliau sejak dari sekolah rendah lagi. Abang Long akan sentiasa memastikan persediaan rapi dibuat sebelum peperiksaan, alatan menulis lengkap di hari peperiksaan, tangan ibu dicium sebelum keluar rumah dan membaca doa sebelum membuka kertas peperiksaan.

☂️ 5. Bila keputusan peperiksaan keluar, Abang Long akan mengingatkan dan memastikan Ummi pergi ke sekolah untuk mendengar sendiri dari guru-guru kelas tentang prestasi pelajaran beliau dan adik-adik serta aktiviti lain di sekolah.

☂️ 6. Tatakala Abang Long bertegas hendak memasuki Maahad Tahfiz sepenuh masa selepas PMR, Ummi pada mulanya agak gusar takut-takut dia terkandas dalam pelajaran atau lambat hendak mengejar balik bidang akademik. Tetapi Abang Long memujuk kami untuk merestui hajatnya kerana khuatir akan menjadi terlalu lewat bagi dirinya melengkapkan diri sebagai seorang huffaz. Jadi Ummi membuat permohonan kepada pihak sekolah untuk menangguhkan sementara pembelajaran akademiknya bagi memberi tumpuan seratus peratus pada hafazan al-Quran. Ketika itu usia Abang Long sudah 16 tahun. Sebaik sahaja tamat menghafaz 30 juz al-Quran Abang Long kembali semula meneruskan pembelajaran di sekolah biasa.

☂️ 7. Abang Long menjadi ‘the Trendsetter’ dan keputusan serta tindak tanduk beliau telah berjaya diikuti oleh adik-adiknya di mana seorang demi seorang mengikuti jejak langkah Abang Long mereka dengan menjadi huffaz selepas PMR ketika berusia 16 tahun. Alhamdulillah syukur tidak terhingga Ummi dengan hasil yang diperolehi terbit dari ketegasan Abang Long tadi.

☂️ 8. Program hafazan yang disediakan di Maahad Tahfiz adalah selama 2 tahun, tetapi memandangkan anak-anak Ummi berjaya menghabiskan hafazan lebih awal, mereka dapat mengulangi hafazan tersebut beberapa kali untuk lebih mantap. Abang Long berjaya menjadi huffaz dalam masa 10 bulan, adik-adiknya ada yang 5 bulan, 8 bulan dan setahun lebih.


☂️ 9. Yang menariknya mereka hafaz al-Quran berserta dengan terjemahan sekali. Ummi dapati keberkesanan dalam hafazan berserta pengertian mendalam ayat-ayat al-Quran sangat bermanfaat kerana mereka dapat aplikasikan dalam kehidupan seharian dan menjadi hujah kepada banyak isu dan permasalahan yang melanda.

☂️ 10. Dua tahun berada di Maahad Tahfiz, ini bermakna Abang Long dan adik-adiknya akan turun batch 2 tahun berbanding rakan-rakan sebaya mereka. Tetapi syukur ke hadrat Illahi, memandangkan Abang Long dan adik-adiknya dapat menghabiskan hafazan mereka lebih awal, Ummi telah menyerapkan mereka semula ke sekolah biasa untuk menduduki Tingkatan 4 di pertengahan tahun dan dapat mengejar balik sesi pembelajaran yang telah mereka tinggalkan. Dengan kata lain, Ummi cuba memastikan Abang Long dan adik-adiknya turun batch hanya satu tahun saja.

☂️ 11. Sesungguhnya Allah Maha Agung. Bila seseorang anak itu mengalir dalam darahnya al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, Allah memudahkan segala urusan. Dalam keadaan kawan-kawan mereka yang lain telah menghabiskan setengah tahun silibus persekolahan, Abang Long dan adik-adiknya dapat mengejar balik pelajaran yang tertinggal sekian lama dan memperolehi keputusan cemerlang di hujung tahun. Ummi kira otak mereka sudah menjadi seperti sponge yang meresap segala bentuk ilmu dengan mudah sekali. Pada tahun berikutnya di Tingkatan 5 kesemua mereka mendapat kejayaan gilang gemilang di dalam peperiksaan SPM dengan mendapat straight A’s.


☂️ 12. Sebaik sahaja tamat tingkatan 5 dan sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, Abang Long menyatakan hasrat untuk mendalami Bahasa Arab di negara Arab. Kami mulanya mencadangkan beliau belajar di Pantai Timur sahaja memandangkan kos tidak berapa tinggi, tetapi Abang Long kata 5 hingga 6 bulan tidak mencukupi kalau hendak memantapkan Bahasa Arab di Malaysia kecuali pergi ke negara yang bahasa ibundanya Bahasa Arab. Jadi, berangkatlah Abang Long ke Sana'a, Yaman mengikuti kelas Bahasa Arab di Universiti Iman dan sekembalinya beliau ke Malaysia 6 bulan kemudian, lancar sungguh Bahasa Arabnya.


☂️ 13. Seperti diduga langkah Abang Long sebagai ‘the Trendsetter’ telah diikuti oleh adik-adik yang lain. Kesemua mereka berangkat ke Sana'a, Yaman sebaik habis Tingkatan 5 dan belajar Bahasa Arab di sana dalam lingkungan 5-6 bulan sehingga keluar keputusan peperiksaan SPM. Bersyukur sungguh bila Ummi dengar mereka berbahasa Arab dengan fasih serta dapat berkomunikasi dengan orang Arab di sana. Sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka memilih bidang-bidang yang menjadi pilihan sendiri seperti undang-undang, perubatan, perakaunan dan lain-lain. Yang penting mereka ingin menjadi Professional Muslim yang boleh berbahasa Arab dan di masa yang sama seorang huffaz, Alhamdulillah..... dan yang menggembirakan walaupun Abang Long dan adik-adiknya turun batch 1 tahun, mereka masih lagi berjaya menerima biasiswa dari JPA dan MARA untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, tidak seperti yang dikhuatiri oleh segelintir ibu bapa lain.
☂️ 14. Di samping pencapaian akademik yang selalu ditekankan oleh ibu bapa, Ummi ingin ulangi sekali lagi tentang peri pentingnya kita lengkapkan pembelajaran Bahasa Arab dan hafazan berserta terjemahan kepada anak-anak yang akan menjadi bekal mereka sepanjang hayat. Anak-anak yang ada al-Quran di dalam diri mereka akan sentiasa terpelihara dari melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Apabila sampai masa untuk mereka menjadi pekerja dalam pelbagai bidang, mereka akan bekerja dengan ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab. Kalau boleh kita hendak semarakkan minat menghafaz al-Quran ke seberapa ramai anak-anak agar dapat menghasilkan seramai mungkin Professional Huffaz di Malaysia.

☂️ 15. Ummi harap perkongsian kali ini dapat menjadi inspirasi kepada ibu bapa di luar sana untuk mengetahui betapa pentingnya kita merancang dengan sebaik mungkin perjalanan, pendidikan dan hala tuju kehidupan anak-anak sedari kecil agar mereka menjadi insan soleh wa musleh. Tiada jalan pintas dalam menghasilkan PROFAZZ dan ia juga tidak terhasil melalui ‘magic wand’ atau kaedah ‘Touch & Go’.

☂️ 16. Anak adalah anugerah kurniaan Allah s.w.t. yang sungguh bernilai kepada kita. Jika kita tidak menjaganya dengan baik, apakah jawapan dan alasan yang akan kita persembahkan di hadapan Allah s.w.t. di akhirat kelak? Sebagai penutup kata, Ummi ingin memetik satu hadith yang berbunyi:

“Barangsiapa membuat sunnah yang baik di dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang setelahnya yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun dari pahala-pahala mereka. Dan barangsiapa membuat sunnah yang buruk di dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang setelahnya yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

(Petikan dari buku "Membina Keluarga PROFAZZ")

http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ
| PERKONGSIAN UMMI PROFAZZ | (SIRI 2)

ASUHAN IBU LEBIH BARAKAH


1. Perkataan SAHM, acronym bagi ‘Stay-At-Home-Mother’, adalah golongan wanita yang memilih untuk tidak keluar bekerjaya sebaliknya berkorban untuk memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga dan rumah tangga. Begitu juga WAHM atau ‘Working-At-Home-Mother’ yang merupakan kategori wanita yang tidak kurang hebat yang memilih untuk bekerjaya dari rumah dengan hasrat dapat menjaga dan mendidik anak secara total.

2. Ummi termasuk dalam kategori wanita yang menjadi SAHM pada awalnya ketika anak-anak masih kecil. Ummi telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan kehadiran anak-anak selang setahun untuk 3 anak yang pertama dan selang 3 tahun dan 2 tahun untuk anak-anak yang berikutnya.



3. Cabaran memiliki 5 orang anak kesemuanya lelaki dengan jarak usia yang rapat serta aktif, ditambah dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah menambah tekad Ummi untuk mengasuh sendiri anak-anak.

4. Satu fakta yang harus diterima ialah wanita-wanita SAHM / WAHM sebahagian besarnya bukan sebarangan orang tetapi golongan pintar yang berpendidikan tinggi yang rela untuk tidak berada di mercu kerjaya dalam bidang profesional dengan pangkat dan gaji yang tinggi di bilik berhawa dingin milik syarikat-syarikat korporat dan multinasional. Mereka adalah khalayak yang merasakan sumbangan mereka dalam pembangunan keluarga adalah lebih penting dari kepuasan kerjaya sendiri.

5. Ummi mempraktikkan ‘Maslow Hierarchy of Need’s Theory’ yang menekankan susun lapis kepuasan diri ke peringkat maksima.
“Maslow describes the Need’s Theory as the desire to become more and more what one is, to become everything that one is capable of becoming. For example one individual may have the strong desire to become an ideal parent....”

6. Pada pendapat Ummi, tiada kompromi, seorang ibu perlu berada di rumah untuk memberi tumpuan pada anak-anak semasa mereka masih kecil dan memerlukan perhatian, belaian kasih sayang dan pendidikan sepenuhnya. Cukuplah ayah sahaja yang keluar untuk mencari rezeki dan fokus pada kerjaya.

7. Ummi amat yakin ibu memainkan peranan penting dalam memastikan penyediaan makanan anak-anak dimasak dengan penuh ikhlas, penuh kasih sayang, disertai doa dan menyuapkan makanan ke mulut anak-anak dengan tangan ibu sendiri. Ibu juga harus menjadi orang pertama yang akan mendengar cerita, kesedihan dan pengalaman-pengalaman mereka. Sekiranya ibu-ibu bekerjaya contohnya sempat memasak dahulu sebelum keluar ke pejabat, tapi suapan ke mulut anak-anak terpaksa dilakukan oleh pengasuh atau bibik, ini pada Ummi masih gagal menepati kriteria ibu menyediakan makan minum untuk anak-anak.

8. Rahsia bonding ibu dengan anak-anak berasaskan didikan, kasih sayang, perhatian dan doa yang tercipta sejak kecil akan menjadi begitu utuh dan dapat mengikat hati anak-anak sehinggakan dalam bab mencari calon isteri pun akan dipastikan mendapat restu ibu.



9. Masyarakat seharusnya memberi sokongan padu kepada golongan wanita seperti ini kerana apa yang mereka korbankan itu insyaAllah adalah sepadan dengan hasil yang bakal mereka perolehi.

10. Tinjauan rambang mendapati kebanyakan anak-anak yang runtuh akhlaknya adalah dari latar belakang ibu bapa yang sibuk dan tiada masa terhadap anak-anak. Tugas pendidikan akademik dan syahsiah diserahkan sepenuhya kepada guru di sekolah. Urusan makan pakai anak-anak diambil alih oleh bibik sementara masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti yang tiada nilai tambah.


11. Anak-anak di bawah asuhan ibu-ibu suri rumah atau ibu-ibu bekerjaya dari rumah akan mendapat pantauan secara langsung dan rapi. Tambahan lagi dengan ibu yang educated dapat menyalurkan ilmu kepada anak-anak bertambah barakah lagi kehidupan sekeluarga. Pastinya ibu yang mengajar sendiri anak-anak mereka akan memastikan anak itu berjaya. Ummi sendiri sanggup belajar kembali subjek-subjek yang pernah dipelajari di sekolah 20-30 tahun dahulu seperti Matematik Tambahan, Sains atau Sejarah hanya semata-mata untuk mengajar anak sendiri. 

12. Tiada balasan yang diharapkan selain doa dari anak yang soleh dan solehah agar menjadi bekal ibu bapa di barzakh nanti. Semoga anak yang lahir dari didikan sempurna ibu bapa mampu berdoa...

"Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku kepada roh kedua ibu bapaku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya, hapuskanlah kesalahannya dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih."

(Petikan dari buku "Membina Keluarga PROFAZZ")

| PERKONGSIAN UMMI PROFAZZ | (SIRI 1)

PEMBENTUKAN KARAKTER ANAK: LAYANAN SAMA RATA


⛽️ 1. Pendidikan anak-anak terlalu penting. Pembentukan peribadi anak-anak bermula dari rumah. Apa yang dilihat itulah yang dicontohi. Bak kata pepatah, ‘Melentur buluh biarlah dari rebung’. Ummi sangat bersetuju dengan peribahasa ini sebab apa yang dilalui oleh anak-anak di awal kehidupannya banyak mencorakkan karakter dan tingkah laku mereka di masa akan datang, terutamanya ketika mereka diberikan hak eksklusif untuk menentukan hala tuju hidup mereka sendiri. Ketika itu, ibu bapa hanya akan menjadi pembimbing dan penasihat dan bukan pembuat keputusan untuk mereka.

⛽️  2. Di sini Ummi ingin memulakan tajuk perkongsian pendidikan anak-anak dengan mengenengahkan teori pertama, yakni ‘Layanan Sama Rata’ terhadap anak-anak. Ummi melihat adalah amat penting anak-anak sejak dari kecil diberikan layanan sama rata baik dari sudut kasih sayang, makan pakai, perhatian, pemberian hadiah dan lain-lain.


⛽️ 3. Ummi sendiri mengamalkan pembentukan karakter anak-anak dari sudut kesamarataan baju yang dibeli dan dipakaikan pada anak-anak sejak kecil. Sama rata tidak lah bermaksud exactly the same.....but more or less the same. Dengan kata lain, serupa tetapi tidak sama. Lihatlah anak-anak Ummi bergembira dengan baju sedondon mereka baik di hari lebaran, maupun ketika santai, tatakala bercuti, atau di taman, tidak ketinggalan juga ketika di pantai. 







⛽️ 4. Tujuannya adalah agar anak-anak merasakan bahawa mereka mendapat perhatian dan layanan yang adil dan saksama daripada ibu bapa di mana kesannya akan menerbitkan perasaan kasih sayang di antara adik beradik.

⛽️ 5. Rasulullah s.a.w bersabda:

َ塈 ِْ َُْْ堹ٍ 堨ِ塈َّ َُْ堹ُ 媢ََ 塈ِْ媟ْ堭َ堜ِ. َ堧َ堥ََ塈ُ َُِّ堹َ塈ِِ ََُ媯ِّ堭َ塈ِِ ََُ堿ِّ堻َ塈ِِ


“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani maupun Majusi.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

(Petikan dari buku "Membina Keluarga PROFAZZ")

http://belibukuPROFAZZ.wasap.my

http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ

Sunday, November 26, 2017

Assalamu'alaikum wbt

Kepada sidang pembaca, anak-anak serta rakan Ummi sekalian.....

Ummi berhasrat menulis blog ini adalah untuk berkongsi tip pendidikan anak-anak dan pengalaman Ummi membesarkan 5 anak lelaki sehingga Alhamdulillah mereka berjaya dalam bidang akademik serta menghafal 30 juz al-Quran.

Setelah 30 tahun belalu, Ummi rasakan amat rugi jika Ummi tidak sebar luaskan ilmu yang ada dari sudut pendekatan, strategi, teknik dan tektik yang telah Ummi guna pakai dalam pendidikan anak-anak sepanjang bergelar Ibu.

Ummi mungkin akan menulis kembali catatan lama dengan nafas baru dan berkongsi petikan dari buku-buku Ummi.

Nantikan tip-tip baru Ummi dari semasa ke semasa....

-Ummi PROFAZZ-