Tuesday, November 28, 2017

| PERKONGSIAN UMMI PROFAZZ | (SIRI 2)

ASUHAN IBU LEBIH BARAKAH


💄 1. Perkataan SAHM, acronym bagi ‘Stay-At-Home-Mother’, adalah golongan wanita yang memilih untuk tidak keluar bekerjaya sebaliknya berkorban untuk memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga dan rumah tangga. Begitu juga WAHM atau ‘Working-At-Home-Mother’ yang merupakan kategori wanita yang tidak kurang hebat yang memilih untuk bekerjaya dari rumah dengan hasrat dapat menjaga dan mendidik anak secara total.

💄 2. Ummi termasuk dalam kategori wanita yang menjadi SAHM pada awalnya ketika anak-anak masih kecil. Ummi telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan kehadiran anak-anak selang setahun untuk 3 anak yang pertama dan selang 3 tahun dan 2 tahun untuk anak-anak yang berikutnya.



💄 3. Cabaran memiliki 5 orang anak kesemuanya lelaki dengan jarak usia yang rapat serta aktif, ditambah dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah menambah tekad Ummi untuk mengasuh sendiri anak-anak.

💄 4. Satu fakta yang harus diterima ialah wanita-wanita SAHM / WAHM sebahagian besarnya bukan sebarangan orang tetapi golongan pintar yang berpendidikan tinggi yang rela untuk tidak berada di mercu kerjaya dalam bidang profesional dengan pangkat dan gaji yang tinggi di bilik berhawa dingin milik syarikat-syarikat korporat dan multinasional. Mereka adalah khalayak yang merasakan sumbangan mereka dalam pembangunan keluarga adalah lebih penting dari kepuasan kerjaya sendiri.

💄 5. Ummi mempraktikkan ‘Maslow Hierarchy of Need’s Theory’ yang menekankan susun lapis kepuasan diri ke peringkat maksima.
“Maslow describes the Need’s Theory as the desire to become more and more what one is, to become everything that one is capable of becoming. For example one individual may have the strong desire to become an ideal parent....”

💄 6. Pada pendapat Ummi, tiada kompromi, seorang ibu perlu berada di rumah untuk memberi tumpuan pada anak-anak semasa mereka masih kecil dan memerlukan perhatian, belaian kasih sayang dan pendidikan sepenuhnya. Cukuplah ayah sahaja yang keluar untuk mencari rezeki dan fokus pada kerjaya.

💄 7. Ummi amat yakin ibu memainkan peranan penting dalam memastikan penyediaan makanan anak-anak dimasak dengan penuh ikhlas, penuh kasih sayang, disertai doa dan menyuapkan makanan ke mulut anak-anak dengan tangan ibu sendiri. Ibu juga harus menjadi orang pertama yang akan mendengar cerita, kesedihan dan pengalaman-pengalaman mereka. Sekiranya ibu-ibu bekerjaya contohnya sempat memasak dahulu sebelum keluar ke pejabat, tapi suapan ke mulut anak-anak terpaksa dilakukan oleh pengasuh atau bibik, ini pada Ummi masih gagal menepati kriteria ibu menyediakan makan minum untuk anak-anak.

💄 8. Rahsia bonding ibu dengan anak-anak berasaskan didikan, kasih sayang, perhatian dan doa yang tercipta sejak kecil akan menjadi begitu utuh dan dapat mengikat hati anak-anak sehinggakan dalam bab mencari calon isteri pun akan dipastikan mendapat restu ibu.



💄 9. Masyarakat seharusnya memberi sokongan padu kepada golongan wanita seperti ini kerana apa yang mereka korbankan itu insyaAllah adalah sepadan dengan hasil yang bakal mereka perolehi.

💄 10. Tinjauan rambang mendapati kebanyakan anak-anak yang runtuh akhlaknya adalah dari latar belakang ibu bapa yang sibuk dan tiada masa terhadap anak-anak. Tugas pendidikan akademik dan syahsiah diserahkan sepenuhya kepada guru di sekolah. Urusan makan pakai anak-anak diambil alih oleh bibik sementara masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti yang tiada nilai tambah.


💄 11. Anak-anak di bawah asuhan ibu-ibu suri rumah atau ibu-ibu bekerjaya dari rumah akan mendapat pantauan secara langsung dan rapi. Tambahan lagi dengan ibu yang educated dapat menyalurkan ilmu kepada anak-anak bertambah barakah lagi kehidupan sekeluarga. Pastinya ibu yang mengajar sendiri anak-anak mereka akan memastikan anak itu berjaya. Ummi sendiri sanggup belajar kembali subjek-subjek yang pernah dipelajari di sekolah 20-30 tahun dahulu seperti Matematik Tambahan, Sains atau Sejarah hanya semata-mata untuk mengajar anak sendiri. 

💄 12. Tiada balasan yang diharapkan selain doa dari anak yang soleh dan solehah agar menjadi bekal ibu bapa di barzakh nanti. Semoga anak yang lahir dari didikan sempurna ibu bapa mampu berdoa...

"Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku kepada roh kedua ibu bapaku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya, hapuskanlah kesalahannya dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih."

(Petikan dari buku "Membina Keluarga PROFAZZ")

No comments:

Post a Comment