Monday, December 18, 2017

BAB 13: KISAH UMMI PROFAZZ
(HUJAN AIS DI NEGERI ORANG)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

“Hidayah datang di negeri orang,
Jodoh bertandang di negeri salju,
Keputusan diambil bukan sebarang,
Titik perubahan merubah hala tuju.”

Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Agung.

Ummi adalah graduan Ekonomi dari Carleton University, Ottawa, Kanada. Sejak kecil Ummi selalu mengejar nombor satu dalam peperiksaan dan akan menangis kalau memperolehi markah ‘B’. Semasa sekolah menengah Ummi belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan MCE (setaraf SPM) bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara.

 
Sumber Foto: Facebook Carleton University.

Bila mendapat tawaran biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ummi sungguh teruja kerana dapat terbang ke negara orang untuk berdikari selain belajar adat dan budaya asing. Keinginan untuk menjadi seorang wanita berkerjaya begitu memuncak kerana Ummi yakin boleh berjaya dalam hidup.

Tahun 1980, buat pertama kalinya Ummi menjejakkan kaki ke bumi Kanada untuk menuntut ilmu. Syahdunya perasaan ketika itu.....
 
Sumber Foto: Facebook Carleton University.

Saat menaiki pesawat untuk terbang ke Kanada adalah pertama kalinya Ummi memakai hijab. Kami adalah 151 orang pelajar batch pertama yang dihantar oleh kerajaan Malaysia ke Kanada yang terdiri dari 87 lelaki dan 64 perempuan. Hanya segelintir sahaja pelajar perempuan yang memakai tudung pada ketika itu kerana tidak bertudung dianggap hanya dosa kecil. Ummi sendiri dididik begitu selama bertahun-tahun. Adalah menjadi suatu yang asing jika seseorang wanita bertudung berbanding tidak bertudung.

Entah mengapa di kala itu Ummi tidak tahu erti malu atau takut untuk berhijab. Ilmu agama di dada masih nipis, namun impian untuk memiliki sebuah keluarga soleh dengan anak-anak penghafaz al-Quran begitu memuncak sehingga perancangan dan perencanaan disusun rapi agar matlamat tercapai. Walaupun tidak tahu penerimaan dan kondisi di negara asing, Ummi tidak tega menolak hidayah anugerah Allah s.w.t. untuk berhijrah ke satu penghidupan yang lebih baik. Itulah titik tolak bermulanya perjalanan Ummi melakar kehidupan membina Keluarga Dai’ dan melahirkan anak-anak Professional Huffaz (PROFAZZ).

Di awal penglibatan Ummi dalam medan da’wah & tarbiyah, Ummi perisaikan diri dengan sering menghadiri majlis ilmu seperti Usrah, Daurah, Mabit dan Mukhayam. Semasa di Kanada, naqibah kami adalah akhawat dari negara Arab seperti Bahrain, Mesir dan UAE. Tiada senior dari kalangan pelajar Melayu yang dapat membimbing kerana kami adalah generasi pertama pelajar Malaysia di sana. MasyaAllah, Tabarakallah, begitu banyak ilmu agama yang diperolehi melalui pencerahan dari the Arab Sisters yang ikhlas membimbing kami yang sememangnya dahagakan ilmu agama.

 
Foto: Ummi bersama rakan seperjuangan dalam program tarbiyah.

Ummi juga menghadiri convention anjuran Malaysian Islamic Study Group (MISG) yang saban tahun diadakan di lokasi yang berlainan. Ummi pernah ikuti convention yang diadakan di Ohio dan sekali lagi di Illinois, Amerika Syarikat.  Di sana Ummi bertemu ramai pelajar Melayu dari seluruh pelosok Amerika Syarikat dan Kanada yang sama-sama ingin memperkuat iman dan aqidah. Ummi sanggup travel secara solo dari Ottawa ke Toronto kerana pada ketika itu tiada rakan yang ingin turut serta atas pelbagai sebab.

Walaupun gerun kerana berseorangan dalam perjalanan, Ummi gagahkan juga demi sebuah ilmu dan harapan untuk meningkatkan iltizam dalam perjuangan Islam. Penyerahan mutlak hanya kepada Allah s.w.t. dan Ummi berdoa agar selamat sampai ke destinasi. Di Toronto, Ummi menyertai konvoi pelajar-pelajar junior yang hendak ke sana diketuai oleh ikhwah dan akhawat senior dari Kalamazoo, Amerika Syarikat.

Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah walau apa juga halangan dalam usaha menimba ilmu, kita haruslah cuba mengatasinya dengan bersungguh-sungguh kerana Allah s.w.t. akan menyediakan laluan yang mudah untuk kita mencapainya, insya-Allah.

 
Foto: Bergambar di Niagara Falls, Kanada sebelum bertolak ke Amerika Syarikat.

Islam adalah penyelamat kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Justeru, kita perlu mencari ilmu berdasarkan dua sumber utama, yakni al-Quran dan Hadith Ar-Rasul s.a.w.

Sedihnya, kini kita berada di akhir zaman yang mana pelbagai macam dosa, maksiat dan fitnah bermaharajalela sehingga bagi orang yang rapuh aqidahnya akan mudah terbawa arus tersebut. Arus yang akan membawa seorang Muslim menuju ke jurang kehancuran.

Tanpa Ilmu, Ibadah Menjadi Sia-Sia.....

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 103 dan 104,

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِٱلْأَخْسَرِينَ أَعْمَٰلًا (١٠٣)
ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (١٠٤)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya?” Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.

Ibnu Mas’oud r.a. berkata,
 وَكَمْ مِنْ مُرِيدٍ لِلْخَيْرِ لَنْ يُصِيبَهُ
 “Berapa ramai orang yang inginkan kebaikan, tetapi tidak mendapatkannya.”

 
Foto: Menghayati keindahan ciptaan Allah di Ottawa, Kanada.

Pada 28 Mei 1983, di tahun akhir pengajian di Kanada tatkala berusia 21 tahun, Ummi bernikah.

Ummi adalah antara penuntut yang pada asalnya sangat-sangat menentang perkahwinan pelajar di awal usia. Ummi pernah menegur seorang rakan yang mengambil keputusan bernikah di luar negara kerana khuatir dia dan pasangannya akan terkandas dalam pelajaran. Ummi ingatkan beliau tentang kerisauan ibu bapa dan penjamin biasiswa yang selalunya adalah dalam kalangan saudara atau jiran terdekat yang pastinya akan menanggung beban  jika masalah berlaku. Ummi tegaskan bahawa kita sebagai pelajar tajaan mempunyai tanggungjawab untuk menamatkan pelajaran dan kembali ke tanah air dengan mengenggam segulung ijazah.

Namun, siapalah kita untuk mengubah ketentuan Allah s.w.t.

 
Naqibah Ummi (seorang akhawat dari Bahrain) merupakan individu yang telah berjaya mengubah persepsi Ummi tentang kepentingan berkahwin muda dengan merujuk kepada Hadith berikut.....

Rasulullah s.a.w. bersabda,

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِيْنَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوْهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ

“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Alhamdulillah, Ummi bertemu jodoh yang sekufu terutamanya dari sudut fikrah. Kami melalui perkahwinan jarak jauh (PJJ) kerana Ummi belajar di Kanada dan Abah belajar di Amerika Syarikat. Walaupun tinggal berasingan beribu batu jaraknya, namun kami saling memperkuat azam dan iltizam untuk memiliki sebuah keluarga soleh.

Pada awalnya, Ummi tidak pasti samada akan berkerjaya atau tidak sebaik tamat pengajian dan kembali ke tanah air. Ummi menyerahkan kepada takdir untuk menentukannya. Tetapi semuanya berubah bila di tahun akhir pengajian, Ummi mengandungkan anak pertama. Perasaan berbelah bagi mula bersarang di hati tentang masa depan yang amat samar. Dengan sedikit pengalaman kehidupan berkeluarga, ilmu keibubapaan yang cetek, kegusaran akan penerimaan keluarga dan masyarakat menyebabkan Ummi dan Abah berbincang dari hati ke hati untuk menentukan penghidupan masa depan kami. Setelah perbincangan mendalam dilakukan, kami tekad memilih untuk Ummi tidak bekerja.

Apakah yang berlaku seterusnya?.....



*Petikan dari buku "Suri Rumah Profesional : Jutawan di Rumah"
Hubungi 019 229 5362 untuk membeli buku atau tekan link di bawah:
.
http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ

No comments:

Post a Comment