Monday, December 18, 2017

BAB 14: KISAH UMMI PROFAZZ (HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI)
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

“Tika diuji tika dicerca, 
Teruskan langkahmu jangan menoleh,
Pena sudah diangkat, lembaran sudah kering.”

Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Agung. 

Sebaik tamat pengajian di Kanada, Ummi kembali ke Malaysia. Kebetulan semasa itu zaman kegawatan ekonomi pertengahan tahun 80an. Ada blessings in disguise.

Alhamdulillah, Allah s.w.t. telah memelihara Ummi dalam banyak situasi:

🔸 Pertamanya, Ummi dilepaskan dari ikatan perjanjian biasiswa kerana pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak dapat menyediakan pekerjaan. Oleh itu, Ummi tidak perlu membayar sebarang ganti rugi kepada kerajaan.

🔸 Keduanya, Ummi dapat menutup mulut setengah masyarakat yang mencemuh wanita berpelajaran yang tidak bekerja kerana pada ketika itu terdapat ramai graduan yang menganggur. Graduan kejuruteraan menjual burger, graduan teknologi maklumat menanam sayur dan terdapat lambakan siswa-siswi yang tamat belajar tetapi tiada pekerjaan. Keadaan ini berlarutan selama beberapa tahun. 

🔸 Ketiganya, dengan rahmat dan kurniaan Allah s.w.t. Ummi terselamat dari mengalami gangguan emosi pada fasa awal penjagaan anak-anak.

Ironinya.....

🔹 Ummi mengalami tekanan hebat dari keluarga sendiri dalam usaha mempertahankan prinsip tidak bekerja walaupun berkelulusan tinggi.

🔹 Ummi terpaksa melawan kehendak hati yang meronta untuk membuktikan pada masyarakat bahawa wanita perlu berpendidikan tinggi untuk mendidik anak. Ilmu yang diperolehi harus dimanfaatkan bagi melahirkan generasi pewaris yang bijak, beragama dan berakhlak mulia. Amat menyedihkan bilamana ibu yang cerdik pandai keluar bekerja dan anak-anak diasuh dan dididik oleh bibik/pengasuh yang tidak berpelajaran. Bayangkan kualiti anak-anak yang bakal terhasil.

🔹 Pada masa yang sama, Ummi terpaksa berperang dengan gelodak perasaan sendiri yang ingin membina kerjaya kerana itulah yang diidamkan sejak dari zaman persekolahan lagi. 

(“Ummi akui ini adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Sebab itulah Ummi sentiasa belajar bersungguh-sungguh semasa di bangku sekolah. Menjadi Suri Rumah adalah satu opsyen yang Ummi pilih dari semua pilihan yang ada.”)


Foto: Ummi bersama anak sulung suatu ketika dahulu.

Alhamdulillah, berkat kefahaman asas Islam diikuti naluri keibuan yang tinggi, Ummi telah berjaya memadamkan hasrat hati, memekakkan telinga serta mengabaikan pandangan rendah keluarga dan persepsi buruk masyarakat. 

Ummi bertekad untuk menjadi Ibu Suri Rumah sejak dari awal perkahwinan bagi memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak. Bonding yang tercipta antara ibu dan anak pada usia 0-3 tahun amat perlu agar keterikatan hati dapat memudahkan pembentukan peribadi dan penghasilan anak soleh. 

Namun, ujian terus melanda.....

♦️ Keluarga terdekat, khususnya sebelah mertua, bertegas menyuruh Ummi bekerja. Alasannya, wanita perlu ada kewangan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada suami. Mertua Ummi adalah keluarga pendidik yang mementingkan wanita berkerjaya lebih-lebih lagi jawatan guru.

♦️ Sanak saudara juga perlu mengelakkan sebarang provokasi dan sindiran sinis. Seorang saudara Ummi pernah memperlekeh usaha Ummi yang cuba menambah pendapatan keluarga dengan menjual kain pasang dari Singapura. Kata-kata berbisa yang dilontarkannya ialah.....“Akak letaklah kain-kain ela tu dalam kandar dan jerit.....kain, kain” (diucapkan dalam nada untuk mentertawakan Ummi).

♦️ Masyarakat sekililing sepatutnya memberikan sokongan padu kepada wanita berpendidikan tinggi yang ingin mendidik sendiri anak-anak. Tetapi ini jarang berlaku. Kebanyakan mereka mencemuh wanita berpelajaran yang tidak bekerja. Pada pandangan mereka seakan terbazir masa dan tenaga jika wanita hanya duduk di rumah, melakukan kerja-kerja rumah tangga, mengisi masa dengan kesibukan urusan anak-anak dan dianggap tidak produktif.

Tahun demi tahun berlalu, namun desakan dari keluarga terdekat masih menebal. Soalan pertama yang sering ditanya oleh mereka setiap kali bertemu ialah.....“Dah kerja ke belum?”

Ummi akui agak kecewa dengan tindak-tanduk mereka yang masih enggan menerima hakikat bahawa Ummi sebenarnya memang memilih untuk tidak bekerja. Ikrar yang telah Ummi persetujui bersama Abah sentiasa tersemat di hati untuk menjadi Ibu Suri Rumah dan fokus kepada pendidikan anak-anak.

Sesungguhnya, manusia punyai had untuk bersabar dan menahan dugaan. Ummi akhirnya akur dengan permintaan keluarga untuk keluar bekerja. Proses seterusnya ialah mengisi borang permohonan kerja dan pada masa yang sama memohon tempat untuk mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) agar Ummi boleh menjadi guru.

Foto: Sanggupkah ku tinggalkan bayi sekecil ini dijaga oleh orang lain?

Suatu yang Ummi yakini ialah lafaz ikrar kami untuk Ummi menjadi ‘Ibu Suri Rumah’ menjadi doa yang telah dipateri oleh Allah s.w.t.

Ini terbukti apabila semua permohonan kerja yang Ummi usahakan gagal, cubaan di sesi temuduga gagal, cubaan untuk mendapatkan tempat bagi menyambung pengajian juga tidak berhasil. Seakan ada sahaja halangan dan kesilapan. 

Contohnya.....

🔺 Semasa Ummi menjawab soalan temuduga untuk jawatan tutor di USM, Allah s.w.t. telah mengaburkan minda Ummi sehingga tidak dapat menjawab soalan yang amat basic bagi seorang pelajar ekonomi. Soalannya ialah apakah definisi 'Defisit'? Ummi tiba-tiba blank dan tidak dapat menjawab dengan baik. Allahu Akbar.....Puas Ummi timbal balik kenapa Ummi boleh blur masa tu. Walhal temuduga tersebut tidaklah sesukar mana. Bila keputusan keluar, Ummi gagal untuk kesekian kalinya. 

🔺 Begitu pula di tempat-tempat lain, hampir sahaja permohonan Ummi diterima tetapi tiba-tiba terpaksa ditolak kerana agensi mensyaratkan keperluan SPM dengan kredit dalam Bahasa Melayu. Ini bermakna Ummi perlu mengambil Julai Paper bagi mendapatkan kredit. 

🔺 Malahan, pernah dalam perjalanan dari Utara ke Kuala Lumpur untuk sesi temuduga yang diperolehi melalui penggunaan ‘cable’ yang kuat, Ummi tertinggal fail resume di rumah. Ummi yakin kalau disebut nama ‘cable’ tersebut, satu Malaysia mengenalinya. Betapa kukuhnya laluan yang kami perolehi tetapi masih juga gagal.

🔺 Juga, tanpa disangka terdapat arahan untuk menghadkan kemasukan ke universiti/maktab untuk pengambilan Diploma Pendidikan hanya bagi mereka yang masih bujang atau pasangan yang belum mendapat pekerjaan. Nama Ummi termasuk dalam senarai pendek calon yang akan dipanggil, tetapi oleh kerana Abah sudah bekerja pada ketika itu, Ummi terpaksa berputih mata sekali lagi.

Satu kejadian yang menambahkan kepastian Ummi bahawa Allah s.w.t. telah mencaturkan kehidupan Ummi sebagai Ibu Suri Rumah ialah bilamana sijil universiti Ummi telah rosak semasa urusan fostostat di kedai. Staf kedai telah tanpa sengaja tertekan feeder yang salah menyebabkan double printing di atas sijil Ummi. Menitis air mata Ummi dan hati retak seribu melihat keadaan itu. Sebak pilu memikirkan betapa Ummi perlukan sijil tersebut untuk memohon kerja, bagaimana pula reaksi keluarga yang tentunya akan terus menekan, dan bagaimana Ummi akan terus stress untuk mendapatkan semula sijil baru.

Foto: Sijil ijazah Ummi yang telah rosak.

Bila direnung dan diamati, Ummi dapat rasakan bahawa setiap kali cubaan untuk bekerja, pasti ada sahaja halangan yang akhirnya membuatkan Ummi masih kekal sebagai Suri Rumah Sepenuh Masa. Satu kedudukan yang hakikatnya sangat mulia di sisi Allah s.w.t. tetapi hina di mata sesetengah masyarakat.

Seakan seperti perancangan Allah s.w.t. yang Maha Agung sedang mempersiapkan Ummi untuk memikul satu tanggungjawab besar melahirkan 5 Professional Huffaz (PROFAZZ) yang bakal menjadi ikon Ummah. Persediaan yang menuntut kesabaran, kegigihan, keazaman tinggi dan istaqamah yang berterusan.



Persediaan mental, emosi dan fizikal amat penting bagi wanita dalam bersama mengemudi bahtera rumah tangga. Pelbagai onak duri akan ditempuhi sepanjang perjalanan kehidupan berkeluarga. Sesungguhnya dua jiwa dari latar belakang yang berbeza untuk hidup bersama menuntut kesabaran yang tinggi dan kesefahaman dalam banyak sudut.

Apabila ikrar telah dimeterai antara Ummi dan Abah untuk membentuk sebuah keluarga soleh, apa yang perlu Ummi lakukan seterusnya ialah melengkapkan diri sebagai Ibu Suri Rumah. Anak-anak soleh lahir dari wanita solehah yang faham peranan dan tanggungjawabnya sebagai ibu dalam erti kata yang sebenar menurut perspektif Islam.

Seperti yang selalu Ummi tekankan.....

✔️ Wanita perlu tahu tanggungjawab sebagai seorang muslimah, tahu tanggungjawab sebagai seorang ibu, tahu tujuan hidup ini, pertimbangan di akhirat dan hakikat anak sebagai amanah dari Allah s.w.t. 

✔️ Wanita tidak boleh bertindak selfish dan terlalu memikirkan diri sendiri. Dalam membuat pemilihan untuk samada menjadi ‘Ibu Suri Rumah’, ‘Ibu Berkerjaya Di Rumah’ atau ‘Ibu Berkerjaya Sepenuh Masa’, dia harus berbincang dengan pasangan masing-masing, menilik, mencatur dan mencatat buruk baik dari segenap sudut lantas mencapai kata sepakat untuk memilih status yang akan memberi kebaikan dan kepentingan kepada anak-anak.

Ummi menumpukan 12 tahun pertama dalam perkahwinan untuk membangun keluarga. Ummi memastikan anak-anak berada di laluan yang stabil dan selesa sebelum memulakan kehidupan berkerjaya. 

Ummi tidak dapat menerima sindiran sinis dari ibu-ibu berkerjaya yang menempelak dengan mengatakan Ummi tidak memahami tuntutan hidup yang memerlukan wanita bekerja. Ummi sempat mengutip pengalaman menarik mengharungi ranjau menjadi pekerja bawahan, pengurus, pengarah projek dan Ketua Pegawai Operasi (COO). Tetapi itu semua datang selepas Ummi langsaikan tugas hakiki sebagai ‘Ibu Suri Rumah’. Ya, Ummi tumpukan pada pencapaian kendiri selepas Ummi pastikan pendidikan, syahsiah, jatidiri dan pembangunan diri anak-anak di tahap maksima.

*Petikan dari buku "Suri Rumah Profesional : Jutawan di Rumah"
Hubungi 019 229 5362 untuk membeli buku atau tekan link di bawah:
.
http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ

No comments:

Post a Comment