Friday, December 22, 2017

"Kami tidak dapat menerima anak-anak Puan belajar lagi di sekolah ini kerana pihak Puan selalu lewat membayar yuran dan kerap ada tunggakan."

Berderau darah Ummi mendengarkan kalam yang terpacul dari bibir Sang Pengetua sekolah tempat anak-anak Ummi belajar. Sejenak terimbau kenangan anak-anak riang ria bersiap untuk ke sekolah yang telah banyak menyemai benih aqidah dan akhlak dalam diri mereka. Para murabbi yang tulus mendidik mereka dengan penuh hemah dan ihsan. Jujur dan keikhlasan terpancar di wajah muallim dan muallimah yang kebanyakannya dari Indonesia dan Thailand. Ummi tidak tega membawa anak Ummi keluar dari biah yang solehah seperti itu.

Laju air mata gugur di depan Sang Pengetua. Dengan getaran suara menahan sebak, Ummi terangkan kepada beliau tentang istiqomahnya anak-anak Ummi menceduk ilmu di sekolah itu. Jarang ponteng, jarang buat hal, selalu hormati guru-guru dan rajin belajar.

"Takkanlah kerana kami lewat sedikit melunaskan yuran, anak-anak kami dinafikan hak mereka? Seingat saya, belum pernah sampai kami tak bayar langsung yuran sekolah. Walaupun selalu tertunda, tapi yang pasti, di hujung tahun kami selesaikan juga sebab kami mahukan barakah dari pendidikan ini....."

Ummi juga ingatkan beliau betapa kami terus kekal menghantar anak-anak ke sekolah yang mahal itu walaupun dalam kalangan sahabat-sahabat lain ramai yang telah membawa keluar seorang demi seorang anak-anak mereka dek kerana tidak sanggup menanggung beban kos yang tinggi.

Ummi lafazkan janji pada Sang Pengetua sekiranya anak-anak Ummi dibenarkan untuk terus bersekolah di situ, Ummi sendiri akan pastikan mereka mengukir nama yang baik untuk mewakili sekolah. Ummi yakin anak-anak Ummi akan menunjukkan kecemerlangan yang hebat bagi menaikkan nama sekolah.


Legasi Dinasti Salmi akan terukir dalam sejarah, yakni 5 Professional Huffaz (Aiman Salmi, Syamil Salmi, Irfan Salmi, Farhan Salmi dan Suhayl Salmi) yang telah mengharumkan nama sekolah sekaligus keluarga dengan pencapaian akademik yang baik, hafaz 30 juz al-Quran dan pada masa yang sama memegang tugas sebagai ketua pelajar, pengawas serta penglibatan lain dalam kelab, persatuan dan sukan. Kini mereka adalah profesional dalam bidang masing-masing dan turut berperanan dalam mengesani masyarakat.

Sesungguhnya Ummi telah lama memadam rasa hiba dan melupakan peristiwa sedih tersebut. Yakni peristiwa ketika Ummi terpaksa menangis dan merayu untuk pihak pengurusan mengekalkan anak-anak Ummi di sekolah berprestasi tinggi itu. Alhamdulillah, Ummi telah buktikan janji pada Sang Pengetua bahawa sekolah tidak akan kecewa dengan anak-anak Ummi.

Kini, bila-bila masa sahaja Ummi redha anak-anak Ummi kembali menyumbang kepada sekolah dengan memberi khidmat bakti secara sukarela. Mungkin dalam bentuk ceramah motivasi, kaunseling atau perundingan. Ummi yakin lebih ramai lagi Professional Huffaz (PROFAZZ) mampu untuk dilahirkan, insyaAllah.




http://belibukuPROFAZZ.wasap.my
http://EjenDropshipPROFAZZ.wasap.my
http://borongbukuPROFAZZ.wasap.my
#UmmiPROFAZZ

No comments:

Post a Comment