Friday, January 19, 2018

KEMESRAAN IBU DAN ANK

Ummi kalau bersembang dengan anak-anak memang rabung sekali. (Orang Kedah kata sembang rabung maksudnya sembang kencang). Contohnya, Ummi boleh bergayut beberapa jam skype dengan Irfan semasa dia di Mesir dulu. Macam-macam story kami boleh sembang. Ummi boleh berjaga hingga dini hari berceloteh dengan Aiman dari satu topik ke topik yang lain.

Kalau semua anak-anak berkumpul di rumah memang riuh rendah kami bercerita macam dah lama tak bersua walhal baru minggu sebelumnya masing-masing balik kampung.

Perbualan berlegar dari isu semasa ke cerita politik masuk bab artis dan lain-lain lagi. Kadang-kadang terpaksa flashback kenapa boleh sampai jauh sangat menerawang topik yang disembangkan.

Suhayl duduk sekali dengan Ummi walaupun sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Tapi dia selalu ketawa kerana bila berbual dengan Ummi nampak seperti sudah lama tidak bersua kerana banyak yang masih nak disembangkan. Dan kalau sembang memang beria-ia seakan tidak pernah habis isu yang mahu diceritakan. Menurut Suhayl, dia mengetahui 95% kisah hidup Ummi. (5% lagi Ummi masih simpan kekal sebagai rahsia)....

Farhan almost everyday jumpa Ummi sebab kerja sekali. Syamil dan famili pula tinggal di taman sebelah je. Bila-bila boleh set appointment lunch atau dinner sekali.

Sebab itulah anak-anak mesra dengan Ummi dan tidak kekok di antara satu sama lain.


Ummi pernah lihat anak rakan-rakan yang buat hal masing-masing di kalangan adik beradik dan tidak bercakap sangat di antara satu sama lain. Ada juga para ibu yang menegur Ummi hairan macam mana Ummi boleh bersembang lama dengan anak-anak sedangkan anak-anak Ummi semuanya lelaki dan sudah besar-besar belaka.

Inilah antara rahsia Ummi mengikat hati anak-anak agar rapat dengan Ummi. Yakni melalui perbualan dan layanan mesra serta sembang dari hati ke hati. InsyaAllah melalui cara ini mereka dapat mengenali lebih dekat isi hati ibu mereka, kesukaan, pantang larang di samping impian dan jangkaan masa depan hidup ini.

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

Tuesday, January 16, 2018

ROTAN ADALAH SIMBOL KETEGASAN

Yang paling afdal, ibu bapa perlu mendidik anak dengan lembut dan penuh kasih sayang. Tetapi dalam keadaan tertentu rotan boleh digunakan.

ROTAN adalah simbol keseriusan kita dalam mendidik anak, sebab itulah Ummi selalu tekankan di setiap rumah mesti ada simpan rotan.

Tetapi sebelum merotan, ada syarat-syarat yang perlu diikuti:

i) Tidak terus merotan sebelum melalui peringkat menegur, menasihat, mendisiplin dan memperbetulkan kesalahan melalui bimbingan, menegur kesalahan dengan isyarat, menegur kesalahan dengan cemuhan, menegur kesalahan dengan pemulauan dan akhir sekali barulah menegur kesalahan dengan merotan.

ii) Jangan merotan ketika perasaan marah menguasai diri kerana dikhuatiri mencederakan anak.

iii) Jangan merotan di anggota yang menyakitkan seperti kepala, muka, dada dan perut.

iv) Bagi hukuman kali pertama, elakkan merotan sehingga menyakitkan.

v) Jangan merotan selagi anak belum mencapai usia 10 tahun.

vi) Sekiranya kesalahan itu dilakukan untuk kali yang pertama, sebaiknya diberikan peluang kepada anak untuk bertaubat dan meminta maaf terhadap apa yang sudah dilakukan.

vii) Biarkan bapa sendiri yang merotan anak itu. Hayunan rotan biar perlahan sahaja.

"Anak-anak adalah amanah untuk kita,
Bukannya tempat untuk dirotan oleh orang yang tidak sabar...."

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

Friday, January 12, 2018

MEMAHAMI KARAKTER ANAK

Ummi pernah menetap di U.K. bersama famili selama 3 tahun. Semasa itu anak-anak Ummi masih kecil berusia 4, 5 dan 6 tahun. Seorang anak Ummi masih baby dan seorang lagi belum lahir. Ummi sendiri yang mengajar mereka solat dan membaca al-Quran.

Ummi akan duduk di tepi heater dan menunjuk ajar pergerakan dan bacaan dalam solat sambil diikuti dengan khusyuk oleh anak-anak. Niat Solat, Takbiratul Ihram, Fatihah, Ruku’, I’tidal, Sujud, Duduk Antara 2 Sujud, Tahiyat Awal, Tahiyat Akhir diikuti dengan Salam. Tertib sahaja mereka ikut tanpa keluh kesah. Yang pasti ada rotan di sebelah Ummi. Rotan itu tidak digunakan. Ia hanya simbol untuk menunjukkan Ummi serius untuk mengajar mereka.


Sejurus kemudian seorang demi seorang anak-anak Ummi akan mengambil giliran untuk membaca Muqaddam. Bermula dengan Aiman, diikuti adik-adiknya yang dua lagi.

Pernah suatu ketika bilamana Aiman dan Irfan telah selesai membaca Muqaddam, Ummi menyuruh mereka mengulang sekali lagi tapi mereka terus bangun dan berkejaran untuk mula bermain.

Tiba pula giliran Syamil. Selesai membaca beberapa halaman, Ummi suruh Syamil ulang sehingga lancar. Air mata Syamil mengalir laju sebab jiwanya mulai tergugat kerana ingin turut serta bermain. Namun digagahkannya juga untuk terus mengulang sehinggalah Ummi suruh berhenti kerana sudah lancar.

Sebagai Ibu, Ummi tahu karakter setiap anak.

Ummi menyuruh Syamil terus mengulang kerana Ummi tahu dia seorang yang boleh mencabar dirinya sendiri. Sedari kecil sifat ini sudah ada di dalam dirinya. Sehinggalah ketika dewasa, dia telah berjaya mencabar dirinya untuk menghafaz 30 juz al-Quran dalam masa 5 bulan.

Syamil juga telah mengambil risiko berani mendaftar 15 subjek ketika SPM dan berjaya mendapat 14A, 1 B. Itupun dia dapat B kerana subjek itu adalah EST (English for Science & Technology) yang pertama kali diadakan dan tiada rujukan soalan dari tahun-tahun lepas. Kalau ikutkan Syamil dia yakin akan mendapat 15A straight. Begitu confidentnya dia. Alhamdulillah….


Bagaimana cara Ummi berjaya menyelami karakter anak-anak?

Ini adalah hasil dari BONDING yang tercipta sejak mereka lahir.

Ummilah yang membelek mereka setiap hari. Ummilah yang mendodoi mereka, menyuap mereka makan, melayan tantrum mereka, bermain dengan mereka, membelai, mengusap kepala, mendukung dan follow mereka ke sana ke mari untuk memastikan mereka selamat.

Alhamdulillah tugas yang bagi setengah orang tampak renyah dan remeh sebenarnya adalah pendekatan terbaik membangun dan mendidik seorang anak kecil yang insya-Allah akan membesar menjadi insan Soleh dan Musleh.

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

Wednesday, January 10, 2018

*﷽*

Ketika Imam Syafie pergi ke Mesir untuk berjumpa guru beliau Imam Malik, meminta untuk didoakan....

Kemudian kata Imam Malik:
"Kamu telah tersalah alamat datang ke sini dan minta untuk didoakan oleh aku!"

Imam Syafie bertanya: "Kenapa?"

Imam Malik menjawab:
"Di rumah kamu ada seorang yang doanya 100,000 kali ganda lebih baik daripada aku!"

Imam Syafie bertanya: "Siapakah itu?"

Maka jawab Imam Malik:
"Ibu kamu! Doa Ibu itu tidak ada hijab antara dia dengan Allah SWT!

NOTA:
Amat bertuah bagi mereka yang masih ada ibu! Alhamdullilah; jika anda masih ada ibu dan bapa, kasihlah dan jaga mereka seperti mereka menjaga dan kasih kepada kita semasa kita kecil dahulu.

Al-fatihah untuk Bonda dan Ayahanda kita!

والله أعلم بالصواب.