Friday, January 12, 2018

MEMAHAMI KARAKTER ANAK

Ummi pernah menetap di U.K. bersama famili selama 3 tahun. Semasa itu anak-anak Ummi masih kecil berusia 4, 5 dan 6 tahun. Seorang anak Ummi masih baby dan seorang lagi belum lahir. Ummi sendiri yang mengajar mereka solat dan membaca al-Quran.

Ummi akan duduk di tepi heater dan menunjuk ajar pergerakan dan bacaan dalam solat sambil diikuti dengan khusyuk oleh anak-anak. Niat Solat, Takbiratul Ihram, Fatihah, Ruku’, I’tidal, Sujud, Duduk Antara 2 Sujud, Tahiyat Awal, Tahiyat Akhir diikuti dengan Salam. Tertib sahaja mereka ikut tanpa keluh kesah. Yang pasti ada rotan di sebelah Ummi. Rotan itu tidak digunakan. Ia hanya simbol untuk menunjukkan Ummi serius untuk mengajar mereka.


Sejurus kemudian seorang demi seorang anak-anak Ummi akan mengambil giliran untuk membaca Muqaddam. Bermula dengan Aiman, diikuti adik-adiknya yang dua lagi.

Pernah suatu ketika bilamana Aiman dan Irfan telah selesai membaca Muqaddam, Ummi menyuruh mereka mengulang sekali lagi tapi mereka terus bangun dan berkejaran untuk mula bermain.

Tiba pula giliran Syamil. Selesai membaca beberapa halaman, Ummi suruh Syamil ulang sehingga lancar. Air mata Syamil mengalir laju sebab jiwanya mulai tergugat kerana ingin turut serta bermain. Namun digagahkannya juga untuk terus mengulang sehinggalah Ummi suruh berhenti kerana sudah lancar.

Sebagai Ibu, Ummi tahu karakter setiap anak.

Ummi menyuruh Syamil terus mengulang kerana Ummi tahu dia seorang yang boleh mencabar dirinya sendiri. Sedari kecil sifat ini sudah ada di dalam dirinya. Sehinggalah ketika dewasa, dia telah berjaya mencabar dirinya untuk menghafaz 30 juz al-Quran dalam masa 5 bulan.

Syamil juga telah mengambil risiko berani mendaftar 15 subjek ketika SPM dan berjaya mendapat 14A, 1 B. Itupun dia dapat B kerana subjek itu adalah EST (English for Science & Technology) yang pertama kali diadakan dan tiada rujukan soalan dari tahun-tahun lepas. Kalau ikutkan Syamil dia yakin akan mendapat 15A straight. Begitu confidentnya dia. Alhamdulillah….


Bagaimana cara Ummi berjaya menyelami karakter anak-anak?

Ini adalah hasil dari BONDING yang tercipta sejak mereka lahir.

Ummilah yang membelek mereka setiap hari. Ummilah yang mendodoi mereka, menyuap mereka makan, melayan tantrum mereka, bermain dengan mereka, membelai, mengusap kepala, mendukung dan follow mereka ke sana ke mari untuk memastikan mereka selamat.

Alhamdulillah tugas yang bagi setengah orang tampak renyah dan remeh sebenarnya adalah pendekatan terbaik membangun dan mendidik seorang anak kecil yang insya-Allah akan membesar menjadi insan Soleh dan Musleh.

#UmmiPROFAZZ

#MembinaProfessionalHuffaz

No comments:

Post a Comment